ULASAN BUKU

Download Setiap etnik di dunia ini memiliki ragam bahasa sastera yang menjadi wadah ... sangat tertarik pada aspek kebud...

3 downloads 518 Views 306KB Size
Ulasan Buku Rais Yatim, Pantun & Bahasa Indah: Jendela Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Endowment Publications, 2013. Edisi 2. 2014, 316 halaman. ISBN 978-983-43892-1-5. Pengulas: Suryadi [email protected] Faculteit der Geesteswetenschappen, Universiteit Leiden, Neitherland. Setiap etnik di dunia ini memiliki ragam bahasa sastera yang menjadi wadah untuk mengekspresikan perasaan kesusasteraan etnik tersebut. Ragam bahasa sastera itu wujud dalam genre tertentu. Demikian pula halnya dengan orang Melayu yang juga memiliki bahasa sastera sendiri. Antaranya termasuklah genre pantun. Ding Choo Ming dalam makalahnya “That Mighty Pantun River and Its Tributaries” (Jurnal Ilmu Pengetahuan Budaya 12:1, hlm. 115-30, 2007) menjelaskan bahawa setiap etnik di Nusantara memiliki ekspresi sastera lisan yang disebut pantun. Berbeza daripada syair yang menggunakan medium bahasa Melayu (lingua franca Nusantara), pantun ditemukan dalam pelbagai bahasa daerah yang hidup di rantau ini. Oleh itu, pantun pastinya mengandungi unsur inti budaya etniknya. Buku ini membincangkan sejarah dan kewujudan seni pantun Melayu dalam masyarakatnya yang terus berubah oleh perkembangan zaman. Walaupun fokus buku ini lebih pada genre pantun, tetapi penulisnya juga membahaskan genre lain, iaitu mantera dan peribahasa. Penulis buku ini, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, merupakan seorang peguam tinggi dalam pemerintahan Malaysia moden yang sangat tertarik pada aspek kebudayaan dan sastera Melayu, khasnya pantun. Beliau telah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dalam Pemerintahan Malaysia sejak 1974 hingga 2013, dan sekarang, beliau merupakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebagai generasi yang lahir pada zaman perang dan berlatarkan alam pedesaan1, penulis buku ini dibesarkan dalam alam Melayu yang masih teguh dengan seni 161

MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 8 BIL. 1 2015

berpantun. “Semenjak kecil lagi saya mengikuti dan meminati pantun, pidato, katakata adat (teromba), perumpamaan, bidalan, bahasa kiasan, pepatah petitih, teromba (tambo), seloka, gurindam, dan secara amnya bahasa indah”, kata beliau dalam buku ini (hlm. 2). Buku ini terdiri daripada 17 bab yang isinya dapat dibahagikan kepada tiga pokok utama, iaitu: (1) posisi pantun dalam konteks kebudayaan Melayu dan kekhasan bahasa sasteranya; (2) jenis-jenis pantun mengikut pembahagian yang dilakukan oleh penulis sendiri; (3) pergeseran budaya yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu, sama ada oleh pengaruh teknologi moden mahupun ideologi yang datang dari luar, yang secara langsung atau tidak mempengaruhi keberlangsungan hidup genre pantun dan budaya Melayu. Penulis berhujah bahawa pantun merupakan “bahasa kias (dan) bahasa berirama yang lunak, indah dan dianggap “tajamnya lebih daripada sembilu (dan) tusukannya lebih daripada kena rejam”, dengan “bahasa indah yang juga disusun atur mengikut daya cipta dan minda yang kuat”. “… Pantun dipercayai sama bangkit dan berkembang dengan dunia Melayu itu sendiri” (hlm. 52). Penulis juga membezakan pantun biasa daripada pantun sempurna. Perbezaan kedua-duanya terletak pada beberapa kriteria, seperti sasaran, matlamat dan maksudnya, suasana yang membawa pengertian dan ajaran, dan keindahan susunan kata atau rima yang terkandung pada baris-baris pembayang dan maksudnya (hlm. 57). Berdasarkan pengajian mengenai pantun yang telah dilakukan oleh para ahli, dapat dikesan bahawa selalunya terdapat percanggahan pendapat mengenai pembahagian jenis pantun. Hal itu setidak-tidaknya mencerminkan bahawa pantun mengandungi hampir semua aspek kehidupan orang Melayu sehingga tidak mudah untuk mengelompokkannya. Dalam buku ini penulis membicarakan “pantun alualuan” (Bab 7), “pantun petua” (Bab 9), “pantun budi dan nilai-nilai murni” (Bab 10), “pantun asmara” (Bab 11), “pantun perjuangan” (Bab 12), “pantun pemimpin dan pimpinan” (Bab 13), “pantun jenaka” (Bab 14), dan “pantun di majlis pertunangan dan persidangan” (Bab 15). Yang menarik dalam buku ini, penulisnya memberikan huraian sambil menggunakan pantun. Oleh itu, pada setiap halaman buku itu ditemukan bait-bait pantun untuk mendukung hujah yang dikemukakan oleh penulis. Penulisan pantun tersebut “di samping mengandungi beberapa pantun klasik (yang diambil daripada pantun pusaka Melayu dan pantun Minangkabau), sebahagian besarnya daripada pengamatan dan gubahan penulis sendiri menurut prinsip amalan berpantun” (hlm. 6). Penulis memperlihatkan kecekapannya menggubah pantun yang sesuai dengan pokok fikiran yang sedang beliau huraikan. Oleh itu, kita mendapat kesan minda penulis sebagai intelektual Melayu yang mampu menggabungkan tradisi lisan 162

ulasan buku

(orality) yang diserap semasa kecil daripada orang tua dan lingkungan dan tradisi tulisan (literacy) yang diperoleh daripada pendidikan moden (sekolah dan universiti). Buku yang juga dilengkapi dengan banyak gambar (ilustrasi) dan senarai 460 perkataan Sanskrit-Melayu (hlm. 302-10) ini tentunya menambahkan lagi pengetahuan tentang pantun Melayu. Akan tetapi, sebagai salah seorang pemimpin bangsanya, penulis juga mengharapkan sumbangan praktis daripada buku ini, iaitu “semoga generasi kini dan masa depan tidak melupai (pantun sebagai) warisan nenek moyang mereka” (hlm. 5). Penulis menyindir golongan tertentu dalam masyarakat yang memperlekeh unsur budaya warisan nenek moyang mereka sendiri, termasuk pantun, kerana menganggap diri mereka sudah maju dan moden. Penulis menyedari betapa “pantun dan peribahasa kian lama kian menipis dan menghilir dalam kehidupan” orang Melayu pada zaman moden ini. “Apatah lagi pada zaman media maya internet yang secara amnya tidak lagi menghormati salah satu cabang budaya tinggi” warisan nenek moyang kita ini (hlm. 5). Itulah yang menjadi dorongan utama penulis menyusun buku ini, sehingga “karya ini diharap dapat mengingatkan kita tentang budaya yang menunjangi intelek tradisi bangsa Melayu”. Daripada pembacaan buku ini, saya berasa akan kekhuatiran seorang pemimpin terhadap perubahan keperibadian bangsanya kerana kemajuan yang telah dicapai dalam segenap bidang yang berpotensi menghakis nilai kemelayuan yang sepatutnya dipertahankan oleh sebuah bangsa yang berbudaya timur.

RUJUKAN Ding Choo Ming, “That Mighty Pantun River and Its Tributaries” dlm. Jurnal Ilmu Pengetahuan Budaya 12:1, hlm. 115-30, 2007. Rais Yatim, 2013. Pantun dan Bahasa Indah: Jendela Budaya Melayu. Edisi 2. Kuala Lumpur: Endowment Publications.

163